Jang kongsi mata dengan Harimau Selatan

KESEMPATAN beraksi di gelanggang sendiri tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh Negeri Sembilan apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) II pada saingan Liga Perdana 2017, sebentar tadi.
Skuad Hoben Jang Hoben terlebih dahulu di depan dalam perlawanan tersebut, menerusi gerakan solo menarik Marko Simic pada minit ke-33.

Kesilapan pertahanan JDTII yang membuat hantaran ke belakang telah memakan diri apabila bola pantas disambar penyerang import dari Croatia itu.

Dia kemudian dengan tenang menggelecek penjaga gol lawan, sebelum mudah menolak masuk bola ke arah gawang yang kosong.

Kira-kira 11 minit sebelum itu, Muhammad Izuan Mohd Salahuddin berpeluang melakar nama sebagai penjaring untuk Negeri Sembilan.

Bagaimanapun rembatannya dalam kawasan bahaya tidak menepati sasaran, walaupun mempunyai ruang mencukupi ekoran tidak dicabar pertahanan lawan.

Dalam asyik menyerang, Skuad Rusa berdepan detik cemas seketika apabila Harimau Selatan melancarkan serangan balas pantas pada minit ke-26.

Namun nasib mereka baik berikutan bola lambungan Jeronimo Barrales dari jarak dekat hanya sedikit tersasar melepasi palang, tatkala Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman sudah pun tertewas.
Bersambung babak seterusnya, kedua-dua pasukan tampak semakin rancak berbalas asakan untuk mendapatkan gol.

Khairul Anwar Shahrudin hampir menambah jaringan untuk Skuad Hoben Jang Hoben, tetapi tandukannya sedikit tersasar ke sebelah kanan tiang gol.

Tatkala perlawanan tampak berpihak kepada tuan rumah, muncul Jeronimo Barrales meranapkan harapan Skuad Jang untuk meraih tiga mata berharga.

Pemain import dari Argentina ini berjaya mengikat kedudukan menerusi tandukan yang berpunca daripada situasi sepakan percuma pada minit ke-90. - Sinar Online

Comments