REMBAU – Dua kenderaan yang diparkir di bahu jalan di Kampung Kundur Tengah, Jalan-Pedas-Linggi, berhampiran sebuah kedai salai rosak apabila dirempuh kereta jenis Perodua Axia, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, kesemua lebih 50 pelanggan yang berada di kedai berkenaan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.
Menurut Rashidi Alwi, 45, ketika kejadian dia bersama keluarganya sedang makan di kedai berhampiran dan terdengar bunyi dentuman.
“Sebaik diperiksa, saya terkejut apabila kereta mak, Roshidah Nom, 69, jenis Perodua Viva yang diparkir di bahu jalan sudah pun dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia lingkungan 20-an.
“Mujur mak tiada dalam kereta. Waktu tu kami dalam kedai. Sebuah lagi kenderaan yang dilanggar ialah Honda CRV yang rosak tayar hadapan kiri,” katanya.
Rashidi berkata, jika diikutkan, mereka sekeluarga yang berasal dari Kajang, Selangor singgah makan di Kundur Tengah selepas menghabiskan masa cuti bersama keluarga di Port Dickson.
“Benda dah nak jadi, mujur tiada yang cedera dalam kejadian ini termasuk pemandu kereta Viva yang datang dari arah Linggi sebelum merempuh kereta di sini,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan. - Sinar Online

Comments
Post a Comment