TAMPIN - Senario sebuah kedai makan disamun dua lelaki bersenjatakan parang berhampiran Tampin Square, di sini, hanyalah lakonan atau demonstrasi polis sempena Program Walkabout Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin pada 9 Mei lalu.
Rakaman video berkenaan kini tersebar luas dalam media sosial Facebook sejak kelmarin dan turut dikongsikan netizen dalam group WhatsApp.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superitendan Hamazah Ab Razak, masyarakat setempat tidak perlu bimbang dan gusar mengenai insiden berkenaan memandangkan ianya hanya lakonan semata-mata bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah berkenaan.
“Melalui demonstrasi berkenaan, masyarakat didedahkan dengan kepentingan melaporkan segera kepada polis sekiranya ternampak insiden seumpama itu dan tindakan pantas polis dalam menangkap penjenayah berkenaan melalui anggota yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Kita harap agar masyarakat tidak gusar dengan kejadian berkenaan kerana ianya hanyalah demonstrasi pasukan polis dalam membanteras jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Untuk makluman, rakaman video yang dimuat naik dalam akaun Facebook BOM321 itu mendapat tontonan lebih 70,000 dan 615 perkongsian. - Sinar Online

Comments
Post a Comment