Skip to main content

Latihan mahirkan 
anggota kendali senjata

TAMPIN  - Latihan berterusan yang dijalani oleh anggota tentera mampu meningkatkan kecekapan dan kemahi­ran bagi memanfaatkan sepenuhnya setiap aset persenjataan yang diperoleh oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, kemahiran seperti itu amat penting bagi memboleh­kan anggota menggunakannya dalam senario pertempuran atau peperangan yang berbeza.
Menurutnya, sebagai Panglima Tentera Darat, beliau bangga setiap kali melihat ke­mahiran anggota menggunakan senjata yang dipertanggungjawabkan.
“Kita telah dapat melihat ketepatan dan kecekapan yang ada pada setiap individu yang bertugas mengendalikan sistem persenjataan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan Tentera Darat di Lapang Sasar, Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini kelmarin.
Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, para pegawai kanan tentera dan atase pertahanan dari beberapa kedutaan asing di negara ini.
Antara sistem persenjataan yang terlibat dalam latihan itu ialah meriam 105mm PH L5, meriam 155mm G5 MK III, MLRS Astros II, kereta kebal PT91 Pendekar, ACV300 Adnan dan AV8 Gempita.
Latihan itu turut mendapat sokongan helikopter Augusta dan Nuri serta jet pejuang FA 18D Hornet dan Hawk 208.
Zulkiple berkata, selepas menyaksikan latihan itu, beliau berpuas hati de­ngan kemampuan anggota yang me­ngendalikan dan keupayaan setiap aset persenjataan yang terlibat.
Jelasnya, latihan itu dibahagikan kepada dua segmen iaitu dinamik dan pameran statik serta segmen tembakan tidak langsung.
Tambahnya, kedua-dua segmen itu bertujuan mempamerkan keupayaan manuver, kuasa tembakan dan impak ke atas sasaran persenjataan yang terdapat dalam inventori Tentera Darat termasuk keupayaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Seramai 1,690 pegawai dan anggota mengambil bahagian dalam latihan ini yang mencapai kemuncaknya hari ini sejak ia bermula pada 11 Mei lalu,” ujarnya.
Beliau menarik perhatian, latihan tembakan itu juga memberi pendedahan kepada siswa kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera yang datang menyaksikan sendiri keupayaan manuver dan kuasa tembakan Tentera Darat.
Katanya, seramai 120 siswa tempatan dan 45 pelajar asing sedang mengikuti kursus berkenaan ketika ini. - Utusan Online




Comments