REMBAU – Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah treler di kilometer 232.2, Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa, Mohd Amirul Ashraf Abu Hasan, 23, beralamat di Kampung Melayu Panchor, Paroi, maut di lokasi kejadian.
Susulan insiden berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Pegawai Bomba, Halim Abd Malik dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.27 pagi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Fuad Majid, pasukannya tiba di lokasi kejadian pada jam 5.10 pagi dan mangsa telah disahkan meninggal dunia.
“Mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu dikeluarkan oleh anggota bomba dan diserahkan kepada polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu treler dan juga kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Comments
Post a Comment