JEMPOL - Polis menahan lima lelaki berusia 27 hingga 37 tahun selepas menyerbu sebuah lokasi penagihan dadah di ladang kelapa sawit di Felda Palong dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, lokasi kesemua suspek itu ditahan dikenali sebagai `Port’ Bukit Abu dalam kalangan penagih dadah di kawasan tersebut.
“Jarak antara tempat dadah tersebut dengan kawasan penempatan kira-kira empat kilometer. Kami percaya ia baru beroperasi sejak dua minggu lalu,” katanya di sini hari ini.
Noorzainy berkata, dalam serbuan itu sebanyak 7.78 gram dadah jenis heroin dirampas dalam serbuan oleh 11 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.
Menurut beliau, salah seorang suspek yang ditahan dipercayai pengedar dadah berusia 27 tahun yang aktif mengedar dadah di kawasan tersebut.
Tambah beliau, kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah semasa ditahan.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan didakwa dalam masa terdekat. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment