Skip to main content

MDKP laksana sistem parkir berkupon

KUALA PILAH  – Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) kini me­laksanakan sistem letak kereta berkupon di 1,200 petak kenderaan di kawasan pentadbirannya bermula sejak seminggu lalu.
Yang Dipertuanya, Syahrul Nizam Saleh berkata, sistem itu diperkenalkan bagi menggantikan kaedah bayaran manual yang diamalkan sebelum ini.
Ujarnya, MDKP masih me­ngekalkan kadar bayaran letak kenderaan sedia ada iaitu 30 sen bagi setiap jam.
“Sistem berkupon ini dilaksanakan di 24 kawasan di daerah ini dengan waktu operasi bermula 7.30 pagi ke 6.30 petang dari Isnin hingga Jumaat. Tiada bayaran dikenakan pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.
“Inisiatif ini dibuat berdasarkan Perintah Pengangkutan Jalan, Peruntukan Tempat Letak Kereta MDKP 2016,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan sistem tersebut di sini.
Menurut Syahrul Nizam, peng­guna boleh mendapatkan kupon daripada ejen-ejen jualan yang dilantik serta di semua pondok tempat letak kereta di daerah ini.
Jelasnya, MDKP akan memberi tempoh peralihan selama sebulan sehingga 14 Jun ini dan dalam tempoh berkenaan tiada sebarang kompaun atau denda akan dikenakan.
Beliau berkata, apabila tempoh itu berakhir, mereka yang gagal mempamerkan kupon tempat letak kereta boleh dikompaun tidak melebihi RM300.




Comments