Skip to main content

NS puas walaupun tersingkir

SEREMBAN  - Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Asri Ninggal tetap berpuas hati dan memuji pasukannya walaupun mereka tersingkir daripada Piala FA selepas kalah dengan agregat 1-3 kepada Pahang malam tadi.
Katanya, pemainnya telah memberikan tentangan sengit di Stadium Tuanku Abdul Rahman dan menguasai hampir keseluruhan permainan termasuk menyekat kemaraan trio penyerang pelawat Matheus Alves Leandro dan Sumareh Mohamadou daripada membolosi kubu mereka.
Menurutnya, pasukannya me­lakukan sembilan percubaan ke gawang Pahang dalam separuh masa pertama berbanding empat oleh pasukan lawan.
“Dalam tempoh 90 minit perlawanan, kami lebih banyak me­nguasai permainan tetapi hanya mampu menjaringkan satu gol.
Walaupun kami kalah, kami kalah secara bermaruah,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan malam tadi.
Negeri Sembilan tewas 2-1 malam tadi selepas tumpas 1-0 dalam separuh akhir pertama di Kuantan pada 30 April lalu.
Pahang menjaringkan gol awal pada minit keenam melalui pemain dari Korea Selatan, Jaewon Heo yang menanduk masuk sepakan bebas Ahmad Syamim Yahya dari luar kotak penalti.
Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-67 apabila hantaran lintang Lee Andrew Tuck ditanduk masuk oleh Bruno Junichi Suzuki dan tuan rumah terus mengasak bertalu-talu ha­nya untuk dihampakan oleh jari­ngan Christie Jayaseelan pada minit ke-90.
Sementara itu, ketua pasukan Negeri Sembilan, Annas Rahmat berkata, pasukannya telah mengerah seluruh tenaga dan tumpuan lebih 100 peratus untuk perlawanan berkenaan tetapi tidak dapat menyaingi kelebihan Pahang.
“Walaupun tumpuan pasukan tahun ini adalah untuk kembali ke Liga Super namun kami tidak pernah sama sekali menganggap mudah piala-piala lain yang dipertandingkan.
“Kami juga amat terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan penyokong dan peminat yang datang memberikan sokongan padu,” ujarnya.
Perlawanan itu benar-benar menyemarakkan minat penyokong Negeri Sembilan apabila buat pertama kali sejak Negeri Sembilan jatuh ke Liga Perdana, Stadium Tuanku Abdul Rahman dipenuhi 38,580 penonton.
Sementara itu ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata disip­lin tinggi dipamerkan pemain Tok Gajah menjadi kunci kepada kejayaan mereka menewaskan Negeri Sembilan biarpun me­nerima asakan bertali arus daripada jentera serangan pasukan lawan.
“Alhamdulillah kami berjaya layak ke final dan ini hasil perjuangan sepasukan yang berjaya menyekat usaha Negeri Sembilan yang mendapat sokongan padu penyokong.
“Disiplin tinggi yang dipamerkan pemain menjadi antara faktor kejayaan Pahang malam ini (tadi).
“Gol awal yang dijaringkan Jaewon Heo pada minit keenam nyata menyuntik semangat pemain walaupun sebelum itu lawan berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.


Comments