TAMPIN – Larian Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang tiba di sini hari ini akan menjelajah negeri ini selama lima hari, melibatkan jarak keseluruhan sejauh 60 kilometer.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, larian yang bermula hari ini akan menjelajah semua tujuh daerah iaitu Tampin, Kuala Pilah, Jempol, Jelebu, Rembau, Port Dickson dan Seremban.
Ujarnya, obor tersebut akan dibawa ke beberapa lokasi menarik antaranya ke puncak Gunung Datuk setinggi 885 meter yang terletak di Rembau.
Katanya, obor itu juga akan diarak oleh 10 buah jet ski dari Pantai Cahaya ke Pantai Telok Kemang semasa konvoi larian itu berada di Port Dickson.
“Sebanyak 300 peserta akan menyertai larian itu dan turut disertai oleh pemimpin masyarakat dan bekas ahli sukan. Saya harap semua pihak akan menyertai larian ini seiring dengan semangat Sukan SEA yang bakal diadakan di negara kita” katanya selepas Majlis Penerimaan Obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Dataran Tampin di sini hari ini.
Terdahulu obor tersebut tiba dari Melaka dengan dibawa oleh Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong selepas menjelajah negeri Hang Tuah itu selama empat hari.
Obor tersebut kemudian diserahkan kepada Ahli Parlimen Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor yang kemudian melakukan gimik permulaan larian di negeri ini.
Larian obor di Negeri Sembilan akan berakhir pada 25 Mei sebelum diserahkan kepada wakil Wilayah Persekutuan Labuan. Larian itu bermula di Johor pada 14 Mei lalu dan dijangka berakhir di Kuala Lumpur pada 19 Ogos, menandakan bermulanya Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur.

Comments
Post a Comment