RASAH - Seorang peguam dan kerani terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini menggugur dan meminda tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine dan ganja seberat 947.44 gram terhadap mereka tahun lalu.
Hakim Datuk Siti Mariam Othman menggugurkan tuduhan terhadap peguam terbabit, G. Sivakumar, 51, setelah pihak pendakwaan menerima permohonan representasi yang difailkan tertuduh menerusi peguamnya, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris bagi menggugurkan tuduhan berkenaan.
Bagaimanapun, kerani tersebut, P. Sivagami, 39, yang turut terlepas hukuman gantung apabila pertuduhan ke atas wanita itu dipinda daripada mengedar kepada memiliki ganja seberat 939 gram, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
Mereka sebelum ini didakwa mengedar dadah tersebut mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah bernombor di Taman Desa Seringin, Nilai dekat sini pada pukul 8 malam, 14 Oktober 2016. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment