Skip to main content

Pelajar perlu budaya mahu berjaya – MB

SEREMBAN - Golongan pelajar di negeri ini digesa supaya memupuk budaya dan mentaliti ingin mencapai kejayaan dalam apa juga bidang yang mereka ceburi terutama sekali pendidikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan kemudahan sekolah yang disediakan kerajaan pada hari ini, pelajar tidak mempunyai alasan untuk gagal dalam pelajaran.
Menurut beliau, kejayaan dan kecemerlangan boleh dicapai oleh semua pelajar tanpa me­ngira sama ada mereka tinggal di bandar besar, kampung mahupun di kawasan estet.
“Kejayaan adalah milik semua asalkan mereka berusaha. Ini yang perlu jadi teras dan proses mencari ilmu hendaklah berterusan walaupun apabila sudah memiliki ijazah.
“Begitu juga kalau sudah menjadi pegawai kanan tidak boleh berhenti belajar dan perlu mencari ilmu setiap hari,” katanya ketika berucap merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sri Sendayan di sini, kelmarin.
Yang turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab. Jalil dan pengetua sekolah, Norida Omar. Sekolah tersebut dibuka pada tahun 2015 dan kini mempunyai 520 pelajar dan 39 guru.
Pada majlis tersebut, Moha­mad turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau telah meminta pihak pemaju kawasan tersebut, Matrix Concept Holdings Berhad supaya membina sebuah sekolah rendah bersebelahan SMK Bandar Baru Sri Sendayan.
Katanya, sekolah yang memiliki 32 bilik darjah itu bakal menampung jumlah penduduk yang dijangka bertambah dengan pembukaan Pangkalan Udara Senda­yan pada tahun depan.
“Kita perlukan sekolah rendah ini dan saya berharap sekolah rendah itu akan dapat berkongsi kemudahan terutama sekali padang dengan SMK Bandar Baru Sri Sendayan,” katanya. - Utusan Online

Comments