Skip to main content

Pusasda diisytihar wabak Influenza A

TELOK KEMANG  - Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson di sini diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan Influenza A selepas 141 pelatih dirawat akibat wabak itu baru-baru ini.
ZAINUDIN MOHD. ALI
ZAINUDIN MOHD. ALI
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, daripada jumlah tersebut, dua orang telah dimasukkan ke Hospital Port Dickson manakala 139 lagi dira­wat sebagai pesakit luar selepas mengadu kurang sihat.
Ujarnya, siasatan mendapati wabak itu bermula selepas pelatih melaporkan diri untuk menjalani latihan pada 27 April lalu.
“Beberapa pelatih dikesan mengalami gejala seperti dijangkiti Influeza A sebelum mereka memasuki pusat ini dan wabak itu dipercayai merebak kepada pelatih lain.
“Keadaan adalah terkawal te­tapi kita akan memantau situa­si di Pusasda dalam tempoh dua minggu sebagai langkah berjaga-jaga,’’ katanya di sini hari ini.
Kata Zainudin, pihaknya dan Pusasda telah berjaya mengambil langkah awal bagi mencegah penularan wabak tersebut dengan kes terakhir dilaporkan lebih seminggu lalu.
Antara simptom jangkitan wabak itu termasuk demam, batuk dan selesema, sakit tekak serta sakit di bahagian kepala, badan dan sendi.

Comments