Skip to main content

Satu daripada enam penduduk hidap penyakit tidak berjangkit

SEREMBAN - Satu daripada enam orang di negeri ini dikesan mengidap penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan kegagalan buah pinggang akibat tidak mengamalkan pemakanan sihat.
Pengerusi Jawatankusa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, jumlah itu berdadarkan Data Kesihatan Rakyat Negeri Sembilan 2016 yang merangkumi seramai 1.4 juta rakyat di negeri ini.
“Data yang diperoleh ini boleh dijadikan sebagai asas kepada tahap kesihatan rakyat di negeri ini sekali gus dapat dijadikan panduan pemakanan sihat kepada ibu bapa kerana penyediaan makanan berkhasiat bermula di rumah.
“Selain itu, kaedah tersebut juga dilihat menyahut seruan kerajaan untuk meringankan kos pembiayaan rawatan perubatan rakyat yang mengidap penyakit tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Sarapan Untuk Hari Ceria, dekat sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pengasas Food Aid Foundation, Rick Chee; Pengarah Urusan Kellogg’s Asia Pasifik Snacks, Shivendu Nadkarni dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi.
Mengulas mengenai program tersebut, Hasim berkata, Food Aid Foundation (FAF) dengan kerjasama Kellogg’s akan menyediakan sarapan berupa 20 gram (g) emping jagung, 200 mililiter susu, 30g kekacang, 30g pelbagai buahan serta kismis kepada 800 murid tadika KEMAS sekitar Nilai dan Labu.
Katanya, program sarapan itu akan diadakan setiap Selasa dan Khamis di 29 buah tabika Kemas kawasan terlibat selama dua tahun berakhir Mac 2019.
“Program ini akan memberi manfaat khususnya kepada anak-anak Kemas dan dalam masa sama dapat menyedarkan ibu bapa bahawa penyediaan makanan seimbang dapat menjamin masa depan yang sihat.
“Dalam masa sama, program ini juga akan menggalakkan syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO) lain terutamanya yang menghasilkan produk makanan kesihatan untuk meyertai acara seperti ini dan dijadikan sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka,” ujarnya.

Comments