Skip to main content

Sistem letak kereta berkupon di Kuala Pilah mulai 15 Mei

KUALA PILAH  - Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) akan melaksanakan sistem kupon bagi tempat letak kenderaan bermula 15 Mei ini.


Yang Dipertuanya, Syahrul Nizam Saleh berkata, ia bagi menggantikan sistem resit secara manual yang dilaksanakan sebelum ini di semua kawasan letak kereta awam di kawasan bandar Kuala Pilah.
Menurutnya, inisiatif itu dibuat berdasarkan Perintah Pengangkutan Jalan, Peruntukan Tempat Letak Kereta MDKP 2016.
“Sebanyak 1,200 petak kenderaan akan menggunakan sistem berkupon yang melibatkan 24 kawasan dalam daerah ini.
“Waktu operasi bagi penggunaan tempat letak kereta berkupon ini adalah bermula pukul 7.30 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Syahrul Nizam berkata, pihak MDKP mengekalkan kadar bayaran sebelum ini iaitu RM0.30 bagi tempoh satu jam dan buku-buku kupon dijual dengan harga RM3 untuk 10 keping kupon.
“Kita melaksanakan tempoh peralihan selama sebulan bermula 15 Mei hingga 14 Jun kepada pengguna dan dalam tempoh itu tiada sebarang kompaun atau denda dan akan dikenakan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE

Comments