TELOK KEMANG - Aspirasi golongan belia di negeri ini yang mahukan kemudahan kepada akses perkhidmatan kesihatan dipertingkatkan menjelang tahun 2050, disambut baik kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri sedang dalam perancangan untuk mewujudkan sebuah hospital dan klinik kesihatan di setiap daerah di negeri ini.
"Buat masa ini, pertambahan dua blok baharu di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban sedang dalam pembinaan bagi menampung kepadatan pesakit.
"Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan dua projek pembinaan hospital di dua daerah iaitu Nilai dan Bandar Baru Sendayan untuk kemudahan kesihatan rakyat," katanya semasa Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) peringkat negeri, dekat sini malam tadi.
Mohamad berkata demikian ketika mengulas harapan salah seorang belia yang hadir dalam dialog tersebut.
Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut bertindak sebagai moderator dialog.
Mengulas lanjut perkara tersebut, Mohamad berkata, hopital di Nilai akan tadbir urus sama ada oleh Kementerian Kesihatan atau Fakulti Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Ujarnya, bagi Bandar Baru Sendayan pula, hospital berkenaan akan diuruskan oleh sebuah syarikat bertaraf antarabangsa.
"Selain itu, kerajaan negeri juga akan menaik taraf semua klinik kesihatan sedia ada bagi memudahkan masyarakat mendapat perkhidmatan terbaik.
"Kerajaan negeri juga sedang sedaya upaya untuk mewujudkan satu klinik kesihatan di setiap daerah namun masih di peringkat perbincangan," katanya.
Kira-kira 1,400 peserta meliputi pelajar dari institusi pengajian tinggi, sekolah serta belia profesional menyertai dialog yang dianjurkan bagi membincangkan cadangan dan harapan golongan belia dalam mencapai TN50 yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment