SEREMBAN - Pendahulu Liga Perdana, Negeri Sembilan sekali lagi terlepas peluang menjurangkan kedudukan mata apabila mencatat keputusan seri buat kali ketiga berturut-turut, dengan kali ini terikat 1-1 sewaktu menentang ATM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini malam ini.
Perlawanan tersebut turut menyaksikan sebanyak tujuh kad kuning dilayangkan oleh pengadil Wan Muhammad Tarmizi, dengan empat daripadanya dipungut pemain skuad Jang dalam pelawanan yang agak tegang.
Jaringan ATM yang berstatus tuan rumah diperoleh pada minit ke-46 menerusi tandukan Venice Elphi Danny Kaya yang bijak memanfaatkan hantaran lintang di dari kiri pintu gol Negeri Sembilan.
Sehingga 10 minit sebelum tamat perlawanan, pasukan pelawat yang kehilangan penjaring terbanyaknya, Bruno Suzuki akibat kecederaan seakan-akan hampir mengalami kekalahan pertamanya dalam liga.
Namun, penyerang Negeri Sembilan, Lee Andrew Tuck akhirnya menyelamatkan maruah pasukan pelawat pada minit ke-83, sekali gus membolehkan mereka menokok kepada 28 mata, tiga mata di PKNP FC yang melonjak ke tangga kedua selepas menumbangkan 10 pemain MISC-MIFA 3-1 di Stadium Perak.
Terdahulu PKNP membuka jaringan menerusi Gilberto Valdenesio seawal minit kelima sebelum tuan rumah memanfaatkan kekurangan yang dihadapi MIFA apabila pemainnya Yoges Muniandy dilayangkan kad merah pada minit ke-35.
Bermula 9 minit selepas waktu rehat, penyerang Brazil itu sekali lagi meledak gol, namun MIFA bertindak merapatkan kedudukan hasil jaringan Bodric Dimitri pada minit ke-72.
PKNP bagaimanapun mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Veevan Raj Siva Balan ketika saingan berbaki lapan minit. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment