10 lokasi kerap berlaku kemalangan

KUALA PILAH - Polis mengenal pasti 10 kawasan di sekitar daerah ini yang menjadi lokasi kerap berlaku kemalangan jalan raya hingga membabitkan kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, laluan tersebut bermula di kilometer (KM)16 hingga KM21 Jalan Seremban-Kuala Pilah (sempadan Kuala Pilah Seremban hingga Warisan Terachi).
“Seterusnya, pengguna perlu berwaspada ketika melalui jalan di KM 30 hingga KM 34 Tanjung Ipoh hingga lampu isyarat Ampang Tinggi.
“Pengguna juga dinasihatkan mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan semua pihak,” katanya.
Haslah berkata, polis turut berada di lokasi terbabit untuk memantau pergerakan trafik bagi melancarkan perjalanan ketika musim perayaan.
Dalam perkembangan lain, Haslah menyarankan kepada orang ramai yang ingin pulang berhari raya, untuk memuat turun aplikasi mudah alih Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi melaporkan kepulangan ke kampung.
“Orang ramai boleh melaporkan dan memaklumkan kepada polis bagi pergerakan penghuni rumah bertujuan memudahkan polis membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Selain itu, usaha pihak kami turut mengedar risalah VSP kepada pengguna jalan raya bagi memberi kesedaran berkaitan medium baru ini.

“VSP kini sebagai satu medium menyalurkan sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka. Justeru, kerjasama masyarakat amat dialu-alukan bagi menangani dan mengurangkan kadar jenayah,” katanya pada Ops Selamat Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Pilah.

Comments