SEREMBAN - Seekor anak beruang ditemukan merayau di kawasan perumahan di Taman Palma Jaya Perdana dekat Paroi di sini semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, kehadiran anak beruang itu disedari penduduk taman perumahan itu kira-kira pukul 12 tengah hari.
Beliau berkata, penduduk kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri ini untuk membantu menangkap haiwan tersebut.
"Seramai tiga kakitangan Unit Pengurusan Hidupan Liar Pejabat Perhilitan Daerah Seremban bergegas ke lokasi perumahan itu selepas dimaklumkan mengenai penemuan anak beruang itu oleh pasukan APM yang tiba lebih awal dan cuba menangkap haiwan itu.
Advertisement
"Sebaik saja berjaya ditangkap, pihak kami telah membawa anak beruang itu balik ke pejabat untuk diberi makan dan berehat sebelum di hantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, anak beruang itu dipercayai datang dari kawasan Hutan Simpan Berembun yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan berkenaan. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment