SEREMBAN - Klana Resort Seremban dan Sinar Harian
meneruskan tradisi mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak yatim, bagi
memenuhi program tanggungjawab sosial korporat.
Seramai 26 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Darul
Aminan diraikan dalam suasa yang penuh meriah dan eksklusif bak ‘VVIP’.
Bermula jam 6.30 petang, kesemua tetamu istimewa ini
disambut meriah oleh kakitangan Klana Resort Seremban, disusuli dengan acara
ramah mesra.
Mereka kemudiannya ditemani Pengurus Besar Klana Resort
Seremban, Yazid Mustaffa dan diiringi Editor Sinar Harian Melaka/Negeri
Sembilan, Ahmad Syarul Derauh mengambil juadah yang tersedia untuk berbuka
puasa.
Kesemua anak yatim ini dilayan istimewa oleh kakitangan
dan wartawan Sinar Harian ibarat VVIP , bermula berbuka puasa sehinggalah solat
sunat terawih di surau Klana Resort Seremban.
Menurut Yazid, beliau mahukan kanak-kanak ini rasa selesa
ibarat berada di rumah mereka sendiri.
“Kita mahu meraikan mereka dengan istimewa, jadi kita nak
mereka rasa selesa, dan bebas bergerak ke mana sahaja tanpa halangan.
“Kegembiraan yang kita ada ini perlu dikongsi bersama,
terutamanya buat mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada Sinar
Harian.
Program yang memasuki tahun ketiga ini diharap dapat
diteruskan pada masa akan datang, bagi membantu mereka yang memerlukan.
Selain menjamu selera, kesemua mereka turut diberi
cenderhati daripada Sinar Harian dan sumbangan duit raya daripada Klana Resort
Seremban, Klana Bikers Motorcycle Group dan Iron Head Motorcycle Group.

Comments
Post a Comment