Bantuan alat niaga kepada OKU

PORT DICKSON - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) bersama isterinya gembira selepas menerima bantuan peralatan untuk memulakan perniagaan berasaskan makanan.
OKU berkenaan, B Harul, 39, yang mengalami kecacatan fizikal pada kedua-dua tangannya menerima bantuan tersebut melalui program Memperkasa Sosio Ekonomi Warga OKU daripada Pemuda MIC Bahagian Teluk Kemang.

Menurut Harul, dia menjadi OKU selepas terlibat kemalangan jalan raya sekitar lima tahun lalu.
Katanya, sebelum ini dia berniaga secara kecil-kecilan di hadapan rumahnya di Taman Lukut Jaya.
“Dengan sumbangan peralatan perniagaan ini, membolehkan saya pelbagai lagi jenis perniagaan. Mungkin saya dan isteri akan mula jual pelbagai jenis kuih muih, tosai, nasi lemak, buah-buahan, air batu campur dan cendol selain minuman lain.
“Bantuan peralatan ini juga bagi semangat kepada saya untuk teruskan kehidupan, dalam mengharungi cabaran ekonomi dan kepesatan pembangunan negara,” katanya.
Harul yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, dengan perniagaan yang diusahakannya itulah membantu menambah pendapatan keluarga, selain isterinya turut menerima tempahan menjahit tempahan pakaian di rumah.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Teluk Kemang, Surach Nair berkata, dalam kesibukan masyarakat dan kecanggihan teknologi hari ini, golongan OKU antara yang turut perlu diberi perhatian dan tidak dipinggirkan.
“Sebagai masyarakat yang cakna dan bertanggungjawab, kita haruslah membantu golongan ini untuk menikmati hidup yang sama seperti mereka yang normal,” katanya.
Surach berkata, pemuda MIC Telok Kemang giat mendekati dan membantu golongan OKU, dengan mengadakan Program Memperkasakan Sosio Ekonomi Warga OKU Dengan Mewujudkan Sumber.
“Dalam program ini, satu latihan komprehensif akan diberi bagi menghasilkan keyakinan tinggi dan perbagai maklumat dan keistimewaan untuk warga OKU di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, bagi Harul, dia dipilih untuk menerima bantuan berbentuk peralatan asas seperti dapur, periuk, bekas buah-buahan, pengisar ais, payung dan beberapa keperluan asas perniagaan lain. – Sinar Online

Comments