SEREMBAN Seorang lelaki dan dua wanita warganegara Vietnam adalah antara 45 pengunjung yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam serbuan di empat buah pusat hiburan di Taman AST di sini semalam.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, mereka yang turut ditahan ialah 40 lelaki dan dua wanita tempatan dalam serbuan bermula pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi itu.
Beliau berkata, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis ketamin, pil eramine 5 dan ekstasi dan suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Selebihnya ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Advertisement
Hock Poh berkata, polis turut menahan 16 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan perhubungan pelanggan (GRO) dalam serbuan itu.
Selain itu, katanya, polis telah menahan seorang lelaki tempatan kerana lesen pusat hiburannya di Taman AST didapati telah tamat tempoh.
“Serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Pengurusan dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment