JEMPOL - Dua tabung derma di Masjid Felda Palong 13 dekat sini diumpil oleh penjenayah yang melarikan wang sumbangan orang ramai berjumlah kira-kira RM250 dalam satu kejadian pada Khamis lalu.
Turut dilarikan sebuah komputer yang diletakkan di dalam pejabat masjid berkenaan.
Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian itu disedari oleh siak masjid itu, Aris Yaacob, 59, ketika dia mahu membuat persiapan berbuka puasa di masjid berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang hari tersebut.
“Siak itu pada mulanya mendapati kunci pejabat masjid yang disorokkan di bawah karpet berdekatan mimbar telah tiada. Beliau kemudian mendapati kunci tersebut berada pada tombol pintu pejabat itu.
Advertisement
“Dia membuat pemeriksaan dan mendapati komputer di dalam pejabat masjid itu telah tiada manakala dua tabung masjid di ruang solat telah diumpil sebelum membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.
Noorzainy berkata, siasatan awal polis mengesyaki wang derma orang ramai dan komputer itu dicuri antara pukul 5.40 petang hingga 6.30 petang semasa tiada sesiapa berada di masjid berkenaan.
Menurutnya, tiada kemudahan kamera litar tertutup dipasang di masjid itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment