SEREMBAN - Impian seorang penoreh getah untuk miliki
rumah sendiri tercapai apabila dia menerima bantuan pembinaan rumah baharu
menerusi Program Bantuan Rumah di bawah projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar
dan Wilayah (KKLW).
Sebelum ini Sharin Ab Rahman, 49, bersama dua anaknya
berusia 21, dan 17 tahun tinggal di sebuah pondok kedai makan yang ditinggalkan
di Kampung Tiroi, Batu 7, Labu di sini.
Menurutnya, dia terpaksa tinggal di situ kerana tidak
mampu untuk menyewa dan kadang kala menumpang di rumah kakaknya di kawasan
berhampiran.
“Pondok kedai makan itu kakak saya yang punya dan saya
tinggal di situ sejak tiga tahun lalu. Keadaannya memang tak selesa dan teruk
sebab banyak bocor.
“Tapi saya tiada pilihan lain, tidak mengapalah janji ada
tempat untuk berteduh. Tapi bila ditawarkan bantuan pembinaan rumah ini, saya
bersyukur sangat kerana tak pernah terfikir yang saya akhirnya ada rumah
sendiri,”katanya yang telah berpisah dengan isteri sejak lima tahun lalu.
Sharin berkata, meskipun rumahnya masih tiada perabot dan
kelengkapan lain namun dia tetap teruja untuk menyambut Adilfitri tidak lama
lagi.
Katanya, dia berterima kasih kepada pihak kerajaan
termasuk pemimpin masyarakat yang membantunya untuk mendapatkan bantuan rumah
berkenaan.
“Perasaan ini sukar digambarkan. Pastinya sambutan hari
raya tahun ini akan jadi lebih meriah, ”katanya pada majlis penyerahan rumah
diadakan di rumahnya di sini, semalam.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh ADUN Labu, Datuk
Hasim Rusdi.
Hadir sama, Timbalan Pengarah GiatMara Negeri Sembilan,
Suhaini Hazli Abu Bakar.
Projek pembinaan rumah Sharin diuruskan oleh GiatMara
Negeri Sembilan dan mula dibina pada 8 Februari lalu dan siap pada 21 April
lalu.

Comments
Post a Comment