JEMPOL - Jalan pintasan Mahsan-Rompin sepanjang
3.2 kilo-meter (km) mula dibuka hari ini untuk semua jenis kenderaan sekali gus
mengurangkan kesesakan di pekan Bahau.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jalan
raya yang mempunyai dua lorong bertaraf lebuh raya itu dibina oleh IOI
Properties Group Berhad (IOI Properties).
“Jalan pintasan yang mula dibina pada tahun 2014 itu
adalah bagi mengurangkan kesesakan teruk yang berlaku di pekan Bahau pada
setiap minggu atau musim perayaan.
“Dengan adanya jalan pintasan ini, pengguna dari Gemas,
Rompin dan pantai timur tidak perlu lagi melintasi jalan kereta api di pekan
Bahau yang sesak ditambah dengan peningkatan kenderaan di kawasan tersebut,”
katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas
merasmikan jalan pintas Mahsan-Rompin dan naik taraf jalan Bandar IOI dekat
sini.
Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI
Properties, Tan Sri Lee Shin Cheng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting,
Datuk Shamsulkahar Mohamad Deli dan ADUN Jeram Padang, Datuk L. Manickam.
Menurut Mohamad, pembinaan jalan pintas tersebut menelan
belanja keseluruhan RM30 juta merangkumi naik taraf bagi pelebaran jalan
sebanyak RM4 juta.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau
memaklumkan kerajaan Pusat secara dasarnya bersetuju dengan cadangan kerajaan
negeri untuk membina sebuah lebuh raya Seremban-Kuala Pilah.
Katanya, projek yang menghubungkan Negeri Sembilan dan
Pahang itu bakal dilaksanakan oleh pihak swasta dan mempunyai tol.
“Setakat ini pelaksanaannya masih di peringkat memilih
konsultan untuk melihat jajaran lebuh raya tersebut namun ia bukan projek
kerajaan sebaliknya jalan swasta,” katanya.
Utusan Online

Comments
Post a Comment