Laluan gelap kini sudah terang

SEREMBAN – Sebanyak 63 tiang lampu dipasang di sepanjang 2.6 kilometer laluan dari Jalan Sungai Gadut, berhampiran gerai cendol Leman Dawi di sini, sehingga sempadan daerah Rembau di bawah fasa kedua Dasar Pencahayaan Negeri Sembilan.

Projek pertama yang sudah siap kerja pemasangan pada 28 Mac hingga 23 Mei lalu menelan kos sebanyak RM500,000.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebelum ini laluan utama berkenaan gelap kerana tiada lampu jalan dipasang.
“Jadi menerusi fasa kedua ini kita memberi keutamaan di laluan ini demi kemudahan serta keselamatan pengguna jalan jalan raya," katanya.
Menurutnya, untuk fasa kedua, kerajaan berbelanja lebih banyak mengikut kemampuan dan keutamaan yang perlu kita lakukan dari semasa ke semasa, walaupun menghadapi kekangan perbelanjaan.
“Tetapi perbelanjaan yang dilakukan itu biarlah mampu memberi impak yang besar kepada masyarakat dan pengguna jalan raya,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di laluan berkenaan, kelmarin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Abd Halim Abd Latiff dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Abd Karim Mohd Tahir.
Sementara itu, Mohamad berkata, tiang lampu dan pembinaannya dibiayai Majlis Perbandaran Nilai (MPN), manakala bil lampu bulanan akan ditanggung JKR.
"Ini merupakan kerjasama dua agensi yang mana hasilnya adalah untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Terdahulu, projek fasa pertama menelan belanja hampir RM16 juta bagi memasang lampu  jalan yang sudah mempunyai tiang.
Sementara itu, dalam perkara berkaitan, Mohamad berkata, semua jalan di kawasan Felda yang telah diberikan hak milik kepada peneroka Felda, akan diambil alih kembali kerajaan negeri mulai bulan depan.
“Sebelum ini, jalan-jalan yang teruk menjadi keluhan masyarakat. Tetapi orang tidak tahu jalan berkenaan diuruskan JKR persekutuan. Jadi menerusi persefahaman yang telah dicapai semasa mesyuarat menteri-menteri Besar dan telah diluluskan Mesyuarat Kewangan Negara minggu lepas, mana-mana tanah rancangan Felda yang dapat hak milik maka, ia akan diurus dan diselenggara JKR negeri," katanya.

Comments