NILAI – Sempena Ramadan ini, Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC), Nilai, Negeri Sembilan memperkenalkan beberapa promosi hidangan bufet berbuka puasa bertemakan ‘Laluan Sutera’ bermula awal Ramadan sehingga 22 Jun 2017.
Laluan Sutera ini merupakan menu legenda silam dengan sajian eksotik negara-negara purba bermula dari utara China hingga berakhir di Rome, Itali.
Tarikan utama bufet berbuka puasa Laluan Sutera ini ialah bermula dengan sajian dari Xi’an di Utara China, kemudian beralih kepada sajian Dunhuang di sebelah Barat, menampilkan pula masakan Mongolia sebelum memperkenalkan menu dari negara-negara Asia Tengah iaitu Kyrgystan, Kazakhstan dan Uzbekistan.
Laluan Sutera kemudiannya bertukar menu terus ke Barat memasuki Afghanistan, Iran, Iraq, sebelum memperkenalkan menu masakan Semenanjung Arab dan Syria sehingga ke pinggir Laut Mediterranean.
Advertisement
Dari sini, Laluan Sutera mengambil laluan air merentasi Laut Mediterranean ke Istanbul, sebelum melalui bahagian terakhir iaitu perjalanan ke Rom.
Penyediaan menu eksotik ini diketuai oleh Eksekutif Chef KSGCC, Chef Odeng yang mempunyai kemahiran dan pengalaman luas dalam menyediakan makanan dari wilayah-wilayah itu.
Satu lagi tarikan menarik bagi penggemar bufet berbuka puasa ialah menu Laluan Sutera KSGCC akan menyaksikan pelbagai rasa berbeza hidangan ‘favorite’ bufet berbuka puasa iaitu ‘kambing panggang’ dan pelbagai jenis daging panggang dan bakar dengan resepi dan ramuan wilayah-wilayah dalam Laluan Sutera.
Bagi mempromosi sajian eksotik ini, pihak KSGCC baru-baru ini telah menjemput wakil-wakil media untuk menikmati juadah yang akan diperkenal dan dihidangkan sepanjang bulan puasa.
JENIS SAJIAN
Tarikan utama bufet berbuka puasa di KSGCC ialah kambing dan pelbagai daging yang dipanggang di dalam tanah, dalam apa yang dipanggil ketuhar shuwa, satu gaya masakan dari Asia Barat.
Kambing atau daging akan disalut dengan ramuan tebal rempah-ratus berbeza sebelum dibalut dan dimasukkan ke dalam lubang bawah tanah yang telah dimasukkan bara yang sangat panas.
Bersama-sama kambing atau daging tadi turut dimasukkan beberapa bahan rahsia yang turut sama dipanggang untuk menghasilkan rasa yang unik.
Apabila kambing atau daging yang dibalut ini diangkat keluar, terhasillah satu rasa yang istimewa lazat di mana kesemua bahan yang dipanggang telah bercampur rasanya di dalam kambing atau daging yang dipanggang, dengan satu lapisan rempah tebal yang garing terbentuk di bahagian luar daging.
Sepanjang 24 hari Bufet, Menu Laluan Sutera yang berbeza akan disajikan. KSGCC akan membawa tetamu sepanjang Laluan Sutera untuk merasai kelazatan sajian yang dinikmati pedagang Laluan Sutera semasa zaman Iskandar Zulkarnain dalam kembara mereka dari kota Chang’An (dikenali hari ini sebagai Xi’an) sehingga berakhir ribuan batu kemudiannya di bandar raya Rom.
KSGCC juga akan menyediakan hidangan berbuka puasa kegemaran masyarakat Malaysia termasuk masakan kampung, satay, goreng-goreng dan pelbagai gerai menyediakan juadah seperti laksa dan perlbagai jenis mi, roti canai dan sebagainya.
Marilah bersama KSGCC sepanjang bulan Ramadan dan bersedialah untuk satu pengalaman berbuka puasa yang menakjubkan.

Comments
Post a Comment