NILAI - Dua pelajar sebuah sekolah menengah di Mantin, di
sini, yang terbabit dalam pergaduhan sehingga video perbuatan mereka tersebar
dalam laman sosial sejak semalam, sudah berdamai.
Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil
berkata, pihak sekolah mengetahui kejadian itu Isnin lalu selepas melihat video
berkenaan, mengambil tindakan segera mengadakan pertemuan terhadap kedua-dua
pelajar terlibat bersama penjaga masing-masing.
“Jabatan dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh pihak
sekolah hari ini (semalam), di mana kejadian itu berlaku di luar kawasan
sekolah.
“Dalam pertemuan diadakan, kedua-dua mereka dan penjaga
saling memohon maaf. Mereka bersetuju untuk berdamai. Jadi, kami anggap kes ini
telah selesai,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, pihak sekolah juga dicadangkan mengambil
tindakan disiplin sekiranya kedua-dua pelajar itu didapati bersalah serta
mengadakan sesi kaunseling.
Selain itu, katanya, pihak jabatan dan Pejabat Pendidikan
Daerah juga akan meningkatkan lagi usaha mengesan dan menggelakkan konflik
berlaku dalam kalangan pelajar, sekali gus membendung kejadian sama berulang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan
Zaldino Zaludin berkata, pergaduhan berkenaan melibatkan pelajar tingkatan lima
dan empat.
Beliau berkata, punca kejadian adalah disebabkan kejadian
perli memerli dan mengutuk sesama sendiri menerusi Facebook.
"Sebelum kejadian, pelajar tingkatan empat itu telah
mengutuk pelajar tingkatan lima menyebabkan mereka bersemuka. Pelajar tingkatan
lima itu menyahut cabaran bertumbuk di luar sekolah.
"Pergaduhan berlaku Jumaat lalu, dalam jam 1 petang
di taman permainan dengan jarak kurang 100 meter dari sekolah. Kedua-dua kumpulan
berkumpul dan dua antara mereka memulakan pergaduhan," katanya di sini,
semalam.
Beliau bagaimanapun berkata, ibu bapa kedua-dua pelajar
itu sudah mengetahui kejadian itu, namun tidak mahu isu itu diperbesarkan.
"Tiada laporan rasmi dibuat oleh mana-mana pihak.
Bagaimanapun, polis akan lakukan siasatan menyeluruh dalam hal ini,"
katanya.
Dalam rakaman video berdurasi 1.15 minit itu, dua remaja lelaki bergaduh,
manakala lebih 10 pelajar berpakaian seragam sekolah, bersorak menyaksikan
pergaduhan berkenaan.

Comments
Post a Comment