Skip to main content

Pemandu treler direman empat hari

JEMPOL - Seorang pemandu treler berusia 44 tahun ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kemalangan jalan raya yang mengorbankan lapan individu di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong dekat sini semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali di Mahkamah Majistret Bahau terhadap suspek yang tiba di mahkamah berkenaan pada pukul 9.10 pagi ini dengan memakai baju lokap warna jing­ga.
Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, berdasarkan semakan, lelaki terbabit mempunyai satu saman trafik lampau manakala ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Advertisement
Dalam nahas semalam lapan individu maut dengan enam daripadanya rentung dalam satu kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong.
Kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu mengakibatkan enam sekeluarga yang menaiki kendera­an pelbagai guna (MPV) Proton Exora rentung selepas kenderaan itu terbakar apabila bertembung dengan sebuah treler yang terbabas ketika cuba memotong sebuah motosikal menjual aiskrim.
Mereka yang maut ialah Wan Mohd. Fauzi Wan Ibrahim, 51, isterinya, Masnoraida M. Yusoof, 45, dan anak mereka, Wan Muhammad Muhaimin, 22, Wan Norathirah, 18, Wan Muhammad Amar Haziq, 13, dan Wan Noralesya, 7.
Kejadian itu turut meragut nyawa pasangan suami isteri yang menaiki sebuah Perodua Myvi iaitu Osman Mohamad Taip, 31, dan isteri Rosniza Othman, 32.




Comments