PVATM manfaatkan WhatsApp

REMBAU - Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan akan menggunakan aplikasi grup WhatsApp untuk berinteraksi dengan pesara tentera yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), terlantar dan yang memerlukan.

Yang Dipertuanya, Mejar (B) Datuk Sazali Ismail berkata, pihaknya akan menyediakan profil mengenai bekas tentera dalam kategori berkenaan dan kemudiannya akan mewujudkan grup WhatsApp khas untuk disertai wakil keluarga setiap daripada mereka.

Menurutnya, satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi mengendalikan aplikasi berkenaan terutama untuk bertanya khabar serta mengetahui perkembangan terkini pesara tentera. 

“Di Negeri Sembilan buat masa ini kita ada kira-kira 285 bekas tentera yang dikategorikan sebagai veteran OKU, terlantar serta uzur. Oleh itu, pada penyampaian sumbangan kali ini, kita ubah pendekatan dengan turun padang ke setiap rumah pesara tentera yang memerlukan bagi melengkapkan profil grup WhatsApp berkenaan.

“Kita sedar kekangan masa serta keupayaan 21 cawangan PVATM di negeri ini menyebabkan kita sukar untuk menziarahi pesara tentera. Namun kita manfaatkan teknologi baru ini bagi memudahkan proses interaksi dengan kesemua bekas tentera memerlukan dari semasa ke semasa,” katanya sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Bulan Mulia di Kampung Sungai Layang, di sini, semalam.

Sempena program selama seminggu itu, seramai 285 bekas tentera di negeri ini akan menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan harian.

Sementara itu, isteri kepada bekas tentera, Norzila Samsudin, 49, berkata, dia rasa gembira dan terharu apabila suaminya yang merupakan pesakit strok, Razali Nordin, 48, tidak pernah diabaikan persatuan sejak disahkan sakit lima tahun lalu.

Katanya, sejak dua tahun lalu, dia sudah boleh melihat reaksi gembira suaminya apabila dikunjungi ahli persatuan serta bekas rakan sekerja di dalam tentera.

“Masa awal-awal diserang strok dulu, mata suami selalu pandang ke atas saja. Kini bola matanya dah boleh digerakkan dan dia mula mengenali rakan-rakannya yang datang melawat.


“Tahun ini adalah tahun ketiga suami saya terima sumbangan sempena hari raya dan ini membantu meringankan beban kami sekeluarga bagi membuat persiapan raya,” katanya.

Comments