KUALA PILAH -
"Walaupun saya bukanlah anggota tentera berpencen, tapi saya tetap
terhutang budi kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM)
cawangan Juasseh kerana ambil berat tentang saya," kata Md Diah Yusof, 58.
Menurut Md Diah, dia kini sudah terlantar selama 18 tahun setelah terlibat kemalangan pada 1999.
Ujarnya, boleh dikatakan setiap dua minggu sekali pasti ada wakil daripada PVATM Cawangan Juasseh datang melawatnya, meskipun hanya sekadar bertanya khabar.
"Sejak jadi ahli PVATM cawangan Juasseh empat tahun lalu, banyak manfaat saya dapat terutama dari aspek kebajikan diri dan keluarga yang sentiasa terbela.
"Saya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) hanyalah selama 13 tahun saja mulai 1981 hingga 1993, dalam pasukan Kor
Perkhidmatan (Pemandu).
"Selepas tamat perkhidmatan dari ATM, saya bekerja
di sebuah syarikat membuat cermin di Batu 5, Jalan Ipoh," katanya ketika
ditemui di rumahnya di Kampung Jerejak Seberang.
Tambah Md Diah, kira-kira 18 tahun lalu dia terlibat
kemalangan apabila motosikal ditungganginya bertembung sebuah kereta ketika
dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Akibatnya, kedua-dua kaki saya patah. Pakar perubatan
maklumkan saraf di kedua belah kaki tidak berfungsi lagi, menyebabkan saya
terlantar sehingga sekarang,” katanya.
Dia yang dikurniakan dua anak berusia 19 dan 21 tahun,
kini tinggal bersama ibunya, Sapiah Ali, 85.
“Saya hanya terlantar dan segala keperluan seperti mandi
dibantu ibu dan anak. Saya juga terpaksa pakai lampin pakai buang. Syukur
kerana ibu berjiwa kental dan memahami masalah saya walaupun dia telah uzur,”
katanya.
Tambah Md Diah lagi, untuk meneruskan kelangsungan
hidupnya, kini dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak
RM300 sebulan, Baitulmal RM200 serta Bantuan Sara Hidup daripada Jabatan Hal
Ehwal Veteran (JHEV) sebanyak RM300 sebulan.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PVATM Negeri
Sembilan, Adnan Ahmad berkata, ziarah itu dilaksanakan bagi mendekati ahli
PVATM yang terlantar dan memerlukan sumbangan terutama di bulan Ramadan.
“Kita akan jejaki semua ahli PVATM yang terlantar. Dengan
cara ini kita dapat lihat sendiri masalah dihadapi selain bantu mereka mengikut
keperluan,” katanya.

Comments
Post a Comment