Skip to main content

Seorang maut, tujuh cedera dalam kemalangan jalan raya

KUALA PILAH  - Seorang lelaki maut manakala tujuh lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Inas di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa berusia 50-an, yang merupakan pemandu Proton Preve meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lelaki dalam kenderaan itu cedera.

Difahamkan, dua wanita yang menaiki kereta Proton Exora mengalami kecederaan parah. 

Kemalangan turut melibatkan seorang wanita yang menunggang motosikal jenis Honda Wave.

Advertisement
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Adnan Yaacob berkata, seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.27 pagi.

“Setibanya di lokasi kejadian, semua mangsa dalam dua kenderaan itu telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Kemalangan mengakibatkan kereta jenis Proton Preve yang terbakar 30 peratus di bahagian enjin. Seorang daripada lapan mangsa nahas disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Adnan berkata, mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini. - UTUSAN ONLINE




Comments