SEREMBAN - Program Malaysia #QuranHour yang dicetuskan
Kumpulan Media Karangkraf sejak tiga tahun lalu mendapat sambutan yang sangat
menggalakkan seluruh umat Islam di negeri ini.
Program agama yang dilaksanakan ini turut mendapat
perhatian dan sokongan daripada Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah yang
turut berkenan mengadakan program Quran Hour
di Balai Undang Luak Johol, Kuala Pilah pada 19 Jun ini.
Menurut beliau, kira-kira 200 orang peserta yang terdiri
daripada Persatuan Wanita, Majlis Belia Kuala Pilah serta masyarakat setempat
akan turut serta menjayakan program ini yang akan di laksanakan di surau
kediaman rasmi Undang Luak Johol.
“Kita menyambut baik program agama sebegini, bukan sahaja
ia selari dengan kehendak agama namun melalui program sebegini mampu mendekat
jiwa dan rohani kita kepada ALLAH SWT.
“Tahniah dan syabas kepada penganjur yang telah
mencetuskan idea ini bagi menghasilkan gelombang bacaan ayat suci al-Quran
secara menyeluruh bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.
“InsyaALLAH usaha yang dilakukan ini pasti membawa
kebaikan yang lebih di dunia mahu pun di akhirat,”katanya.
Beliau ditemui di Hotel Klana Resort hari ini bagi
menunjukkan sokongan terhadap program Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung
pada 24 Ramadan ini secara serentak seluruh Malaysia.

Comments
Post a Comment