JEMPOL - Waris
Allahyarham Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31, yang terkorban dalam nahas pesawat
pejuang Hawk 108 pada 16 Jun lalu, hari ini menerima sumbangan daripada Tabung
Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN).
Sumbangan berjumlah RM22,000 itu diberikan kepada waris
Allahyarham iaitu balunya, Asysyuhadak Ahmad, 30, dan anak perempuan pasangan
itu, Nur Hafiya yang berusia lapan bulan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Panglima Wilayah Udara 2
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Jeneral Datuk Mohd. Shabre Hussein
dalam majlis ringkas di rumah keluarga Allahyarham di Felda Lui Muda dekat sini
hari ini.
Mohd. Shabre berkata, sumbangan itu diberikan kepada
waris Mohd. Hasri kerana Allahyarham termasuk dalam kategori pegawai TUDM yang
meninggal dunia semasa menjalankan tugas operasi.
“TUDM mengambil
berat kebajikan setiap anggota yang tercedera atau terkorban terutamanya semasa
menjalankan tugas. Kita juga melihat kepada kebajikan balu-balu anggota
tersebut,” katanya kepada para pemberita selepas menyerahkan cek sumbangan
tersebut.
Menurutnya, TUDM turut menguruskan beberapa faedah
kewangan lain yang masih dalam pengiraan Jabatan Arah Rekod dan Pencen seperti
pencen terbitan, ganjaran terbitan, faedah gantian cuti rehat, pencen orang
tanggungan dan ex-gratia orang tanggungan.
“Selain itu, koperasi tentera masih dalam proses
pengiraan agihan insuran kelompok, yuran serta simpanan yang telah dicarum
Allahyarham sepanjang berkhidmat dalam TUDM,” katanya.
Pada 16 Jun lalu, Mohd. Hasri dan seorang lagi
juruterbang, Mohd. Yazmi Mohamed Yusof, 39, terbunuh walaupun berjaya
melentingkan diri keluar dari pesawat pejuang jenis Hawk 108 milik TUDM yang
terhempas di hutan berpaya di Chukai, Kemaman di Terengganu.
Sementara itu, Asysyuhadak berkata, beliau menghargai
sumbangan yang disampaikan oleh pihak TUDM kepada keluarganya.
Bagaimanapun, wanita itu yang tidak mampu menahan
kesedihan memberitahu, dia kini semakin terasa kehilangan suaminya dan berharap
mampu menempuh perjalanan hidup yang masih panjang bersama anaknya. - UTUSAN
ONLINE

Comments
Post a Comment