Skip to main content

Wanita Nepal maut kereta langgar pokok

SEREMBAN  - Seorang wanita warganegara Nepal terbunuh apabila kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di Nilai dekat sini pagi tadi.

Dua lelaki penumpang kereta itu, juga warganegara Nepal, cedera dalam kemalangan kira-kira pukul 6 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin berkata, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Radhika Basnet berusia 30 tahun manakala Bishnu Nepali Dong, 26, dan Tamang Buddha Bahadur mengalami kecederaan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang bergerak dari arah Mantin menghala ke Jalan Persiaran Perbandaran, Nilai telah hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan dan melanggar pokok di bahu jalan.
Advertisement
"Radhika meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi mangsa telah di bawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE



Comments