PORT DICKSON - Bayi berusia dua minggu antara yang
terselamat dalam insiden kebakaran rumah teres dua tingkat di Taman Negeri
sekitar jam 5 petang tadi.
Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian seramai empat
orang penghuninya berada di dalam rumah dan segera bertindak keluar menyelamatkan
diri selepas terhidu asap.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Razif
Mohmad Haris berkata, kebakaran yang berlaku membabitkan dua buah rumah dan api
kebakaran dipercayai bermula daripada tingkat atas rumah pertama.
Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian
berjaya mengawal api kebakaran dalam masa tiga minit dan api dapat dipadamkan
keseluruhannya dalam masa 20minit.
"Rumah pertama terbakar hampir 40 peratus sementara
rumah kedua sekitar 5 peratus," katanya.
Razif berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan
pada jam 5.15petang dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Telok Kemang dikejarkan ke
lokasi kejadian terlebih dahulu berikutan Pasukan Bomba dan Penyelamat Port
Dickson sedang dalam satu operasi menyelamat di Bukit Pelandok.
"Pasukan Bomba dan Penyelamat Telok Kemang tiba pada
jam 5.35petang dan dua minit kemudian diikuti bomba Port Dickson dari Bukit
Pelandok.
"Seramai 15 anggota dengan tiga jentera terlibat
dengan operasi menyelamat," katanya.
Razif menambah, kejadian tidak membabitkan sebarang
kemalangan jiwa, sebuah rumah penghuninya tiada kerana ke Johor dan sebuah lagi
sekeluarga berjaya keluar menyelamatkan diri.
"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan
bomba," katanya.
Terdahulu, mangsa kebakaran dengan dibantu jiran-jiran
cuba memadan kebakaran dengan menyimbah air ke kawasan kebakaran menggunakan
baldi dan paip getah sementara menunggu bomba tiba.

Comments
Post a Comment