Dari jeans kepada beg

DIA memang kreatif, malah memiliki kepakaran dalam bidang jahitan dan mampu menjahit beg berasaskan fabrik denim.


Zuhaimi Nordin, 49, yang menceburi bidang jahitan selama 30 tahun itu menghasilkan beg daripada denim, bermula selepas mendapati banyak seluar denim yang tidak lagi dipakai kerana lusuh dan ketat.

Raut wajahnya persis Cina, Zuhaimi atau lebih dikenali Ah Meng menyatakan, kebanyakan seluar denim yang dibuang ditransformasikan kepada sebuah beg yang mampu memberi kelainan kepada si pemiliknya.

Pelbagai produk dijual di Ah Meng XXXL Outlet.
“Ini kerana, setiap beg yang dibuat eksklusif hanya untuk si pembeli, tiada dua ataupun tiga. Siapa cepat dialah yang dapat.
 “Saya mahukan kelainan dalam setiap rekaan dan warna, kerana setiap seluar denim berbeza,” katanya yang sedang membuat tempahan beg ‘pouch’ lelaki.
Ujarnya, idea menghasilkan beg daripada fabrik denim bermula setelah dia berasa sayang hendak membuang setiap seluar jeans yang dimilikinya.
Beg denim rekaan Zuhaimi

“Hendak buang terasa sayang. Malah ada denim yang masih elok, cumanya ketat dan tidak boleh diguna lagi.
“Maka, melihat fabrik seluar ini yang tahan lasak dan mampu dipakai bertahun-tahun lamanya, akhirnya saya ambil keputusan untuk buat beg,” katanya.
Kata Zuhaimi, kenalan dan pelanggan tertarik dengan beg denim yang dihasilkan lalu meminta untuk menempahnya.
“Saya muat naik gambar hasil kerja saya di Facebook. Tak sangka ramai yang minat dan mahu beli serta tempah.
“Setiap kali beg denim dihasilkan, akan ada peminatnya sendiri. Tak kira lelaki atau wanita, tua atau muda ada antaranya peminat beg denim.
“Bagi generasi Y pula, rekaan lebih 'funky' dan ranggi menjadi pilihan, manakala dewasa gemarkan beg galas. Ini menjadikan saya teruja menghasilkan beg berasaskan fabrik ini,” katanya.

Jual pakaian saiz besar
Selain menyediakan khidmat pembuatan beg denim, Zuhaimi turut menjual seluar denim, beg, baju T dan pelbagai produk lain di kedainya.
Dikenali dengan Ah Meng XXXL Outlet, perniagaan itu dijalankan di Bazar 1 Malaysia turut menawarkan jualan pelbagai aksesori serta kasut berjenama untuk pelanggan.
“Bukan itu saja, saya juga ambil tempahan baiki seluar jeans dengan memotong sekiranya seluar itu panjang dan pelbagai lagi.
Zulhaimi menunjukkan antara koleksi seluar denim dijualnya.
“Dengan serendah RM8, apa saja yang dipinta oleh pelanggan akan saya lakukan. Insya-ALLAH, hasilnya puas hati,” katanya yang mengambil masa hanya 10 minit sehingga 15 minit jika membaiki seluar secara keseluruhan.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia juga mengambil kesempatan menjual pelbagai baju T daripada saiz S sehingga XXXL bagi pelanggan yang berbadan besar.
Zulhaimi mengambil ukuran seluar pelanggan.
“Tak ramai jual baju bersaiz besar. Jadi saya ambil inisiatif jual pakaian seperti ini bagi memudahkan golongan ini memilih pakaian.
“Ternyata maklum balas amat memberangsangkan. Saya juga menekankan kualiti agar pelanggan berpuas hati dengan produk yang dijual di sini. Malahan harga di sini amat berpatutan dengan serendah RM10 dan ke atas,” katanya. 


Menurut suami kepada Yusra Mohd Yusof ini, produk di kedainya diimport dari negara luar dan pastinya menjanjikan kepuasan kepada si pemilik.

“Bagi mereka yang ingin berkunjung ke kedai ini, boleh hadir jam 9.30 pagi sehingga 6 petang setiap hari dan sekiranya berada di luar kawasan, boleh membuat tempahan dan pembelian di Facebook Zulhaimi Ah Meng,” katanya. - Sinar Online

Comments