Skip to main content

Dua pelajar perempuan maut kemalangan motosikal

TAMPIN  - Dua pelajar perempuan tingkatan enam terbunuh selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 1.7 Jalan Air Kuning Selatan-Batang Melaka dekat sini kira-kira pukul 12.35 tengah hari tadi.

Ketua Polis daerah, Superintenden Hamazah Ab. Razak berkata, mangsa ialah penunggang berusia 18 tahun dari Kampung Tengah, Air Kuning Selatan dekat Gemencheh dan pembonceng berusia 19 tahun dari Ladang Namber, Air Kuning Selatan.
Beliau berkata, penunggang berkenaan maut akibat mengalami cedera parah di bahagian kepala, patah tangan dan bahu kanan manakala pembonceng cedera parah di kepala dan badan.
Katanya, kemalangan itu berlaku semasa kedua-dua mereka yang juga rakan sekelas hendak pulang ke rumah masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd. Taha di Gemencheh.
Advertisement
"Tiba di satu selekoh jalan di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kiri jalan. Motosikal tersebut kemudiannya melanggar papan tanda arah selekoh jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik.
"Akibat daripada kemalangan ini, kedua-dua mangsa telah mengalami cedera parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk urusan bedah siasat sebelum dituntut oleh waris masing-masing. - UTUSAN ONLINE



Comments