Skip to main content

DUN Lenggeng: Terserah kepada SPR

SEREMBAN  – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini untuk memaklumkan kekosongan kerusi DUN Lenggeng berikutan kematian Datuk Ishak Ismail semalam.

Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Dr. Awaludin Said berkata, beliau telah mengarahkan kakitangan DUN menyediakan semua dokumen yang berkaitan.
“Sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan atau tidak, saya serahkan kepada SPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di luar kediaman kakak Ishak di Taman Rashidah Utama, Paroi dekat sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Ishak atas kematian Allahyarham.
Secara peribadi, Mohamad berkata, beliau tidak berkecil hati dengan tingkah laku Allahyarham yang kadangkala agak lantang ketika sidang DUN.
“Saya bercampur dengan arwah sejak bujang dan tahu sangat ragam dan perangainya. Sebab itu, saya tidak ambil hati kerana tahu dia akan bercakap apa yang dia hendak bercakap,” katanya.


Comments