SEREMBAN – Penduduk di pangsapuri Rasah Jaya merayu
kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar dapat melakukan kerja-kerja memotong
dan mencantas dahan pokok tua di sekitar kawasan itu segera.
Pengerusi Pengurusan Pangsapuri Rasah Jaya Courts
Management Coorporation, Siaw Ah Nyok,59, berkata, keadaan pokok besar yang
sudah tua itu dibimbangi mengundang bencana berikutan terlalu hampir dengan
tempat kediaman penduduk.
Katanya, pihaknya telah membuat tiga kali aduan bersurat
kepada Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bagi mendapatkan perkhidmatan menebang
dan mencantas dahan pokok, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan.
“Pokok ini sudah berusia lebih 50 tahun, sudah terlalu
besar dan tua.
"Tiada sebarang kerja-kerja memotong dahan dilakukan
sejak tiga tahun lalu, kita bimbang kalau dibiarkan, pokok itu boleh tumbang
dan rosakkan rumah di pangsapuri ini,” katanya.
Dia ditemui semasa lawatan Ahli Majlis dan MCA negeri
bersama penduduk di pangsapuri Rasah Jaya.
Sementara itu, Ketua Penerangan MCA negeri, Dafney Hoo
berkata, PBT digesa supaya bertindak lebih aktif menyelesaikan isu pokok tua.
Kata Dafney, pelbagai aduan dan laporan pihaknya terima
daripada penduduk setempat, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan
dilakukan.
“Kita telah dimaklumkan bahawa MPS tidak mempunyai
kakitangan dan lori yang mencukupi untuk melaksanakan kerja-kerja mencantas
pokok setiap hari.
“Oleh sebab itulah, mereka perlu mengikut jadual yang
telah ditetapkan dan secara giliran akan melakukan kerja-kerja mencatas pokok
di kawasan memerlukan.
“Namun gerak kerja yang terlalu lambat ini menyebabkan
rungutan daripada penduduk setempat, sehingga ada di antara mereka yang takut
duduk di rumah apabila hujan lebat kerana khuatir pokok akan tumbang terkena
rumah mereka,” katanya.

Comments
Post a Comment