TELOK KEMANG - Jabatan Imigresen menubuhkan Pasukan Elit yang mendapat latihan khas bagi berdepan kes profil tinggi berkaitan jenayah rentas sempadan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, buat permulaan, seramai 76 penguat kuasa yang terdiri daripada 61 lelaki dan 15 wanita dipilih menganggotai pasukan berkenaan.
Beliau berkata, pasukan itu mendapat latihan dari segi fizikal dan mental daripada jabatan itu serta Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Gerakan Am.
"Mereka mendapat latihan berbeza kerana mereka akan menjadi barisan hadapan. Banyak cabaran dalam penguatkuasaan yang dihadapi contohnya ancaman kekerasan seperti pernah berlaku rusuhan di depot, pendatang asing tanpa izin yang melawan dan penguat kuasa dirempuh kenderaan.
Advertisement
"Buat masa ini dari segi strukturnya pasukan ini diletakkan di bawah Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa di ibu pejabat, namun kita akan kembangkan ke negeri-negeri lain," katanya selepas merasmikan Program Pra-Pemilihan Pasukan Khas Jabatan Imigresen di Akademik Imigresen Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment