BANDAR SERI JEMPOL - Sebuah keluarga sempat menyelamatkan
diri dan beberapa dokumen penting selepas rumah mereka di Kampung Serampang
Indah di sini, terbakar petang kelmarin.
Malah, jiran mangsa juga dikatakan bergegas membantu
menyelamatkan beberapa peralatan rumah mangsa sebelum api marak dalam kejadian
jam 4.50 petang itu.
Mangsa, Sarawanan, 37, berkata, ketika kejadian, dia
bersama ibu dan anaknya di rumah, sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan kebakaran
dipercayai bermula dari bilik tidur mendiang bapanya yang terletak di bahagian
dapur.
“Api cepat merebak ke ruang dapur serta tamu rumah
sebelum jiran datang bantu selamatkan beberapa barang dalam rumah.
“Kami lega semuanya selamat, ibu dan anak saya tak alami
kecederaan,” katanya di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan
Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan insiden tersebut tiada unsur
jenayah dan mangsa mempunyai hubungan yang baik dengan jiran, selain tidak
mempunyai musuh.
“Siasatan juga mendapati keadaan pendawaian elektrik
dibuat tidak kemas dan banyak penyambungan sendiri dibuat pemilik rumah
berkenaan, namun masih menunggu laporan lengkap daripada bomba,” katanya.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat
negeri dalam satu kenyataan berkata, sebanyak dua jentera masing-masing dari
Bandar Seri Jempol dan Simpang Pertang bersama 14 anggota bergegas ke tempat
kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.55 petang.
“Rumah berkenaan terbakar sebanyak 50 peratus dan api
berjaya dipadamkan pada jam 6 petang. Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih
dalam siasatan,” katanya.

Comments
Post a Comment