SEREMBAN - Kerajaan negeri tidak akan tunduk dengan
mana-mana pihak yang cuba menghalang pembangunan tanah ladang Kampung Serampang
Indah (Gatco) di Jempol, dekat sini, demikian ditegaskan Menteri Besar, Datuk
Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak
mengambil tindakan undang-undang sekiranya mana-mana pihak didapati cuba
menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas pembangunan projek tanaman semula getah di kawasan
berkenaan seperti yang dipersetujui penduduk sebelum ini.
“Setelah banyak kali kes ini dibawa ke peringkat mahkamah
sehingga Mahkamah Tinggi Persekutuan juga menolak kes ini, namun penyalahgunaan
proses mahkamah tetap berlaku dengan cara menggunakan segelintir penduduk oleh
pihak berkepentingan untuk menghalang kerajaan menjalankan projek penanaman
semula getah, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan segelintir penduduk yang masih
tidak berpuas hati dengan tawaran penyelesaian yang diusahakan kerajaan bagi
mengatasi kemelut tanah ladang Gatco itu.
Katanya kerajaan negeri mempunyai tanah seluas 485.76
hektar di kawasan berkenaan yang akan dibuat penanaman semula yang mana ia
akhirnya akan memberi manfaat dan membantu penduduk di situ.
“Dalam tempoh lima ke berapa tahun sementara menunggu
hasil selepas penanaman semula dibuat, mereka akan mendapat elaun bulanan
daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
“Rundingan dengan
Risda juga telah dibuat dan Risda telah diberikan peruntukan oleh Kementerian
Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah,
mereka ini bukan sahaja dapat elaun bulanan tanaman semula tetapi akan dapat
pokok yang akan ditanam,” katanya.
Mohamad juga berharap agar penduduk yang menjadi tali
barut kepada pihak yang mahu melihat usaha penyelesaian tanah ini tidak dapat
dilaksanakan agar memikirkan tindakan itu secara waras.
“Saya minta penduduk jangan terperangkap dengan hasutan
dan pujukan daripada orang yang ada kepentingan bahkan kerajaan tidak ada niat
atau apa pun unsur penganiayaan kerana niat kita untuk tolong orang teraniaya
selama lebih 47 tahun,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Setiusaha
Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Adun Ampangan yang juga Exco
Kerajaan Negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza akan menjadi bapa angkat kepada Dun
Lenggeng susulan Adun kawasan berkenaan, Datuk Ishak Ismail yang telah
meninggal dunia baru-baru ini. - Bernama
Comments
Post a Comment