SEREMBAN - Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa hari ini sehingga 30 Jun 2020.
![]() |
| Tan Sri Othman Mustapha |
Beliau menggantikan Prof. Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh yang tamat tempoh lantikannya pada 30 Jun lalu.
Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm) USIM dalam satu kenyataan berkata, Othman yang merupakan anak kelahiran Tumpat, Kelantan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam (Syariah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan mula berkhidmat di Jakim sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 1982.
Sepanjang berkhidmat di Jakim, beliau memegang pelbagai jawatan antaranya Pengarah Bahagian Penerbitan, Pengarah Bahagian Dakwah serta pernah bertugas sebagai Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Advertisement
Beliau dilantik Ketua Pengarah Jakim pada 23 April 2011 dan peranannya telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak dari dalam atau luar negara.
“Pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan beliau ke jawatan ini,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
USIM juga melahirkan penghargaan kepada Wan Hashim kerana telah memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan universiti sepanjang menjadi Ahli Lembaga Pengarah Universiti selama 10 tahun. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment