Lelaki dicari bantu kes samun

KUALA PILAH - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun berkumpulan yang berlaku di Kampung Peraku, Senaling pada 17 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, lelaki berkenaan dikenali sebagai Muhamad Faizal Yaakob berusia 27 tahun beralamat di Kampung Terusan, Juasseh.
Menurutnya, minggu lalu polis berjaya menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan boleh menghubungi IPD Kuala Pilah di talian 64811222.
“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah, semalam.
Dalam kejadian 17 Julai lalu di Kampung Peraku, Senaling, seorang warga emas berusia 79 tahun kerugian RM4,500 selepas gelang tangannya diragut.
Mangsa sebelum itu didatangi dua lelaki pada jam 7.30 pagi bertanya mahu membeli buah kelapa.
Bagaimanapun setelah mangsa memberitahu rumahnya tiada buah kelapa, lelaki terbabit terus meragut gelang tangan yang dipakai mangsa.
Mangsa menjerit dan kedua-kedua lelaki itu terus melarikan diri menaiki Proton Iswara berwarna hitam.
Difahamkan mangsa mengenali salah seorang lelaki berkenaan yang pernah datang ke rumahnya untuk memotong rumput dan mengait buah kelapa. Sinar Online


Comments