SEREMBAN - Seorang pengendali jengkaut maut selepas sebatang pokok Beringin menghempap jentera itu ketika melakukan kerja-kerja pembersihan pokok di Jalan Temiang dekat sini hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, S. Mayaalagu berkata, mangsa, Lai Jih Weng, 37, yang tersepit dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota perubatan.
"Ketika kejadian, mangsa dan bapanya sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di satu lokasi berdekatan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chan Wa.
"Tiba-tiba sebatang pokok Beringin tua bersaiz besar tumbang dan menghempap jengkaut itu ketika mangsa sedang mengendalikannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Advertisement
Mayaalagu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.26 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 11.35 pagi.
Menurutnya, seramai dua pegawai dan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban bersama tiga buah jentera dikerahkan ke lokasi berkenaan bagi memberi bantuan.
Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment