Skip to main content

Lelaki warga emas maut dikelar anak

JEMPOL  - Seorang lelaki warga emas ditemukan mati dengan kesan kelar di leher dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya yang mabuk di Felda Lui Timur dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mayat S. Valayutham, 73, ditemukan oleh anggota polis dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.
Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, sebelum kejadian tersebut, pihaknya telah menerima panggilan ekoran timbul kekecohan selepas seorang lelaki mabuk di sebuah kedai runcit dan kedai makan di kawasan itu pada pukul 8.30 malam.
“Anggota polis telah pergi ke lokasi dan menasihati lelaki berusia 45 tahun tersebut supaya tidak membuat kecoh dan memintanya pulang ke rumah.
Advertisement
“Bagaimanapun, pada pukul 10.30, kami sekali lagi menerima laporan mengenai bunyi bising dari sebuah rumah dan apabila anggota polis memeriksa rumah berkenaan mereka menjumpai mayat seorang lelaki warga emas berlumuran darah dengan kesan kelar di leher.
“Berikutan itu polis sedang menjejaki anak lelaki mangsa iaitu Mohamad Nazri Abdullah, 45, atau dikenali sebagai Chandra Bos yang dikatakan bergelut dengan mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta Naza Citra berwarna merah, “ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menemukan sebilah parang di lokasi kejadian dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE




Comments