KUALA PILAH - Tapak pasar malam di Pekan Dangi yang baru
diturap mengalami kerosakan dan berlubang semula gara-gara lori seberat puluhan
tan parkir di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Zon Johol 1,
Norhayati Abdullah mendakwa tapak tersebut sering menjadi pilihan pemandu lori
untuk berhenti rehat sebelum memulakan perjalanan.
“Tapak tersebut hanya tempat parkir kenderaan ringan
seperti kereta, lori sebesar lima tan dan 10 tan tak boleh parkir di kawasan
ni.
“Malah tapak ini jadi lokasi pasar malam Dangi pada
setiap Isnin. Jika lori parkir di sini pada hari Isnin, ia menjejaskan serta
ganggu operasi peniaga.
“Bukan itu saja, jalan turut mengalami kerosakan dan
berlubang. Kerana lori, saiz lubang jalan itu pula makin besar kerana jalan ini
sering dilalui kenderaan berat dari kilang industri berhampiran,” katanya.
Beliau berharap pihak berkaitan dapat membendung masalah
ini dan bantu menurap semula kerosakan parkir di tapak pasar malam.
“Saya juga mencadangkan pemasangan besi pengadang di sini
supaya kenderaan berat tidak dapat memasuki kawasan tersebut.
“Sebenarnya kawasan ini jadi laluan kenderaan berat dari
arah Pantai Timur ke arah Selatan. Bagaimanapun penduduk tidak menghalang
mereka melalui kawasan ini, namun berharap tidak parkir di tapak pasar malam
Pekan Dangi.
“Sekiranya pemandu lori mahu berhenti boleh parkir di
bahu jalan,” katanya.
Norhayati turut menyarankan pihak berkenaan menurap dan
menampal lubang di jalan Dangi ke arah Tampin kerana mengalami kerosakan teruk.
“Kerosakan permukaan jalan tersebut juga makin serius
berikutan hujan yang kerap berlaku kebelakangan ini.
“Jika lubang itu tak dibaiki dan ditutup segera, ia
dikhuatiri akan menyebabkan kemalangan yang boleh mengakibatkan maut.
“Laluan masuk ke jalan ini pula gelap pada waktu malam
dan sangat berbahaya terutamanya mereka yang tidak biasa menggunakan laluan
ini,” katanya. - Sinar Online

Comments
Post a Comment