Negeri Sembilan lonjak ke tangga kedua

SEREMBAN  - Negeri Sembilan memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan A Piala Malaysia apabila menumpaskan Pahang 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini malam tadi.

Pasukan Hobin Jang Hobin kini naik ke tangga kedua dengan lima mata, dua mata di belakang pendahulu, PKNP selepas pernah tercicir di kedudukan terbawah dalam kumpulan itu yang turut disertai oleh Pahang dan T-Team.
Tanpa kelibat dua tonggak utama, Bruno Suzuki dan Jonathan Behe, Negeri Sembilan masih mampu mempamerkan aksi yang meyakinkan dalam separuh masa pertama dengan menyumbat dua gol.
Gol pertama pasukan tuan rumah diperolehi pada minit ke-10 melalui Farderin Kadir yang menggelecek seorang pemain lawan di depan pintu gol Pahang sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol Wan Muhammad Azraie Wan Teh.



Pada minit ke-35, Khairul Anwar Shahrudin yang tidak dikawal memperoleh peluang di depan pintu gol Pahang lalu memusingkan badan dan melakukan chip di sudut kanan gol pasukan pelawat meledakkan gol kedua untuk Negeri Sembilan.
Pahang akhirnya meraih gol tunggal pada minit ke-87 melalui pemain import, Jaewon Heo yang menguis masuk bola yang terlepas daripada tangkapan penjaga gol Negeri Sembilan, Saiful Amar Sudar ketika menyelamatkan tendangan Sumareh Mohamadou. - UTUSAN ONLINE



Comments