SEREMBAN - Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan
Pematuhan Standard (Jips) Bukit Aman, Datuk Noor Azam Jamaludin dilantik
sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Beliau yang berusia 57 tahun dan telah berkhidmat dalam
bidang kepolisan kira-kira 30 tahun, menggantikan Deputi Komisioner Datuk
Jaafar Mohd Yusof yang bersara wajib.
Majlis serah terima tugas berkenaan berlangsung di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Jalan Campbell, di sini, dan
disaksikan oleh Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (Start), Datuk
Abd Manan Mhd Hassan.
Selain Timbalan Pengarah Jips, Noor Azam pernah memegang
jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan/Peperiksaan/Kompetensi)
Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Anak jati Alor Setar, Kedah ini juga mempunyai pengalaman
sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam, Selangor dan Ketua Jabatan Pengurusan
Kontinjen Sabah.
Sementara itu, Jaafar yang telah menabur bakti kepada
Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 41 tahun, 7 bulan dan 11 hari pula menyandang
jawatan tersebut sejak 19 Disember 2014. - Sinar Online

Comments
Post a Comment