SEREMBAN - Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan (JPNNS) di Jalan Dato Abdul Kadir di sini dipecah masuk dalam satu kejadian awal pagi hari ini.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5 pagi dan hanya disedari oleh Ketua Unit Pembangunan JPNNS ketika masuk bertugas di pejabat itu pada pukul 7.30 pagi.
Sumber berkata, pegawai berkenaan mendapati bilik pejabatnya berselerak sebaik masuk ke situ dan tiga pejabat di unit lain turut mengalami keadaan yang sama.
"Penjenayah dipercayai memasuki empat pejabat dengan mengumpil pintu utama. Banyak barangan dilarikan antaranya pemacu keras, wang tunai RM740, radio, lima kipas, telefon bimbit serta syiling RM30 dengan jumlah kerugian kira-kira RM3,500," katanya.
Advertisement
Pejabat yang dipecah masuk adalah Unit Pembangunan, Unit Akaun, Unit Pencen dan Unit Naik Pangkat. Kejadian tersebut dilaporkan kepada polis di Balai Polis Jalan Campbell di sini pada pukul 9 pagi.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk premis. - UTUSAN ONLINE

Comments
Post a Comment